Sunday, January 20, 2008

Fasal 1 : Pengenalan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab
Nama Lengkapnya

Beliau adalah Syeikh Al-Islam Al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad Rasyid bin Barid bin Muhammad bin al-Masyarif at-Tamimi Hambali An-Najdi.

Tempat dan Tarikh Lahir

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dilahirkan pada tahun 1115 H (1701M) di kampung ‘Uyainah (Najd), lebih kurang 70 km arah barat laut kota Riyadh, ibukota Arab Saudi sekarang.

Keluarga dan Pendidikan

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab berkembang dan dibesarkan dalam kalangan keluarga terpelajar. Ayahnya adalah ketua jabatan agama setempat. Sedangkan datuknya adalah seorang qadhi (mufti besar), tempat di mana masyarakat Najd menanyakan segala sesuatu masalah yang bersangkutan dengan agama.
Sebagaimana lazimnya keluarga ulama, maka Muhammad bin Abdul Wahab sejak masih kanak-kanak telah dididik dan ditempa jiwanya dengan pendidikan agama, yang diajar sendiri oleh ayahnya, Tuan Syeikh Abdul Wahab.

Sejak kecil lagi Muhammad bin Abdul Wahab sudah memperlihatkan tanda-tanda kecerdasannya. Ini boleh dilihat dengan kejayaan beliau menghafal 30 juz Al-Quran sebelum usianya sepuluh tahun. Setelah beliau belajar dengan ibu bapanya beberapa bidang pengajian dasar yang meliputi agama dan bahasa, beliau diserahkan kepada para ulama setempat sebelum dikirim oleh ibu bapanya ke luar daerah.
Muhammad mempunyai ketajaman fikiran dan daya kecerdasan yang tinggi dan kuat. Ini boleh dibuktikan dengan kemampuannya menghafal dan mengingat setiap apa yang dipelajari olehnya dan tidak mudah hilang dari ingatannya.


Belajar Di Mekah, Madinah dan Basrah

Setelah mencapai usia dewasa, Muhammad bin Abdul Wahab diajak oleh ayahnya untuk bersama-sama pergi ke tanah suci Mekah untuk menunaikan haji di Baitullah. Apabila selesai urusan mereka, ayahnya terus kembali ke kampung halamannya dan meninggalkan Muhammad di Mekah untuk menuntut ilmu dan kemudiannya berpindah pula ke Madinah untuk melanjutkan pengajiannya di sana.
Di Madinah, beliau berguru dengan dua orang ulama besar dan termasyhur di waktu itu. Kedua-dua ulama tersebut mempunyai peranan besar dalam membentuk pemikiran dan fikrah Muhammad bin Abdul Wahab. Mereka ialah Syeikh Abdullah Ibarhim bin Saif an-Najdi dan Syeikh Muhammad Hayah al-Sindi.

Selama berada di Madinah, beliau sangat prihatin menyaksikan ramai umat Islam tempatan mahupun penziarah dari luar kota Madinah yang telah melakukan perbuatan-perbuatan tidak senonoh dan tidak sepatutnya dilakukan oleh orang yang mengaku dirinya Muslim. Beliau melihat ramai umat yang berziarah ke maqam Nabi mahupun ke maqam-maqam lainnya untuk memohon syafaat, bahkan meminta sesuatu hajat pada kuburan mahupun penghuninya, yang mana hal ini sama sekali tidak dibenarkan oleh agama Islam. Apa yang disaksikan oleh Muhammad itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

Kesemua inilah yang semakin mendorong Muhammad untuk lebih mendalamai pengkajiannya tentang ilmu ketauhidan yang murni, iaitu aqidah salafiyyah. Bersamaa dengan itu belaiu berjanji pada dirinya sendiri, bahawa pada suatu ketika nanti, beliau akan mengadakan reformasi (islah) dan pembaharuan (tajdid) dalam masalah yang berkaitan dengan aqidah. Beliau berazam untuk mengembalikan aqidah umat Islam kepada sebersih-bersihnya dengan jauh daripada khurafat, tahyul dan bid’ah. Untuk itu, beliau mesti mendalami benar-benar tentang aqidah ini melalui kitab-kitab hasil karya ulama-ulama besar di abad-abad yang silam.

Pada waktu pengajian ini juga, Muhammad bin Abdul Wahab banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai pemikiran Ibnu Taimiyyah melalui karya-karya ulama tersebut. Khususnya dalam aspek aqidah umat Islam. Seolah-olah apa yang dikehendaki oleh Ibnu Taimiyyah semasa hidupnya yang penuh ranjau dan tekanan dan sarat dengan pengorbanan itu berjaya dilaksanakan oleh Muhammad bin Abdul Wahab.

Setelah beberapa lama menetap di Mekah di Madinah kemudian beliau berpindah ke Basrah. Di sini beliau bermukim dengan lebih lama sehingga banyak ilmu-ilmu yang diperolehinya terutama di bidang hadith dan mustalahahnya, fiqh dan usul fiqhnya dan tidak ketinggalan juga ilmu bahasa Arab.

Memulakan Gerakan Dakwah

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab memulakan gerakan dakwahnya di Basrah, tepat di mana beliau bermukim untuk menuntut ilmu pada ketika itu. Akan tetapi dakwahnya di sana kurang berjaya akibat dari halangan dan rintangan yang terlalu banyak terutama dari kalangan para ulama setempat. Namun demikian, beliau juga sempat mengumpulkan pendukung-pendukung yang setia, antaranya ialah Syeikh Muhammad al-Majmu’i. Namun akibat ancaman dan tekanan dari pelbagai pihak menyebabkan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab terpaksa meninggalkan Basrah dan mengembara ke beberapa negeri Islam untuk memperluaskan ilmu dan pengalamannya.

Setelah mengembara beberapa lama di rantau orang, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab kembali ke kampung asalnya Uyainah, tetapi tidak lama kemudian beliau menyusul kedua orang tuanya yang merupakan bekas ketua jabatan urusan agama Uyainah ke Haryamla, iaitu suatu tempat di daerah Uyainah juga pada tahun 1139 H. Adalah dikatakan juga, perpindahan ini disebabkan oleh berlakunya perselisihan faham antara orang tua Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dan pihak berkuasa Uyainah.

Di Haryamla, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dan bapanya menjalankan usaha gerakan dakwah selama lebih kurang 13 tahun lamanya sehinggalah bapanya meninggal dunia di sana pada tahun 1153 H. Walapun Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab boleh dikatakan mendapat kerjasama dari pihak berkuasa tempatan, namun ramai pihak yang tidak bepuas hati dan merasakan kedudukan mereka terancam dengan gerakan ini. Mereka lantas menggugut untuk membunuh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab atau setidak-tidaknya akan mencederakannya. Menyedari kedudukan dan keselamatannya terancam, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab berhijrah sekali lagi dari Haryamla ke Uyainah, tempat bapanya dan beliau sendiri dilahirkan.

Keadaan Negeri Najd, Hijaz dan Sekitarnya Sebelum Pergerakan Wahabiyyah
Keadaan negeri Najd, Hijaz dan sekitarnya semasa awak pergerakan Wahabiyyah memang berada di puncak krisis. Semua aspek kehidupan seolah-olah hanya menanti masa kehancurannya sahaja. Aqidah dan akhlak masyarakat sudah lari jauh dari landasan Islam manakala tata nilai sosial, ekonomi dan politik mengalamai kemerosotan yang teramat sangat. Pada masa itu, semua kawasan ini berada di bawah kekuasaan pemerintahan Turki Raya.
Keadaan ini ditambah lagi dengan hasutan dari bangsa-bangsa asing terutamanya British dan Perancis. Mereka menjalankan usaha menghasut bangsa Arab supaya merebut kemerdekaan dari bansga Turki di atas nama perjuangan kebangsaan. Ini menyemarakkan lagi cita-cita sesetengah amir-amir di negeri Arab untuk membebaskan diri mereka dari cengkaman Khilafah Islamiyah. Apa yang berlaku sebenarnya ialah, amir-amir ini telah terpedaya dengan strategi-strategi musuh-musuh Islam yang berusaha untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam dan mengheret mereka jauh daripada tali persaudaraan yang berasaskan Islam. Maka apakah lagi kekuatan yang ada pada sekumpulan kambing yang mempercayai serigala sebagai pembelanya?

Dari segi aqidah pula, kebudayaan jahiliyyah yang dulunya telah dibasmi oleh Rasulullah SAW kian bernafas kembali. Amalan-amalan seperti taqarrub (mendekatkan diri) pada kuburan (maqam), keramat, memohon syafaat dan meminta berkat serta meminta diampuni dosa dan disampaikan hajat, sudah menjadi ibadah yang utama sekali. Di mana-mana sahaja yang mempunyai maqam wali, orang-orang soleh dan para ulama akan dibanjiri oleh penziarah-penziarah untuk meminta hajat keperluannya. Antara maqam yang menjadi ‘mangsa’ ialah maqam Syeikh Abdul Qadir Jailani di India.

Di tengah-tengah kekalutan inilah Allah SWt mengutuskan seorang mujaddid besar Islam abad ke 12 hijrah setelah Ibnu Taimiyyah, mujaddid abad ke 7 Hijrah untuk membetulkan segala kekalutan dan menyucikan aqidah umat Islam dari sebarang pembaharuan dan bid’ah yang ternyata sesat sama sekali.


Allah SWT berfirman :

وقل جاء الحق وزهق الباطل إن الباطل كان زهوقا

Yang bermaksud : Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".

Awal Pegerakan Wahabiyah

Muhammad bin Abdul Wahab memulakan pergerakan di kampungnya sendiri di Uyainah. Di waktu itu Uyainah diperintah seorang amir (penguasa) bernama Amir Uthman bin Muammar. Amir Uthman menyambuk baik idea dan gagasan Syeikh Muhammad itu dengan sangat gembira dan beliau berjanji akan menolong perjuangan tersebut sehingga mencapai kejayaan.
Selama Tuan Syeikh melancarkan dakwahnya di Uyainah masyarakat negeri itu samada lelaki dan wanita mula merasakan kenikmatan Islam yang sebenar. Bunga-bunga ukhuwwah yang dulunya layu kini segar kembali menerima siraman dakwah dari Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Uyainah pula mula menerima kedatangan pengunjung-pengunjung dari jauh yang datang semata-mata untuk menikmati bersama kedamaian Islam.

Pernah suatu hari, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab meminta izin pada Amir Uthman untuk menghancurkan sebuah bangunan yang dibina di atas maqam Zaid bin Al-Khattab, saudara kandung kepada Umar bin Al-Khattab, khalifah Rasulullah yang kedua. Tuan Syeikh mengemukakan alasan bahawa perbuatan membina bangunan di atas maqam itu menyalahi hadis Rasulullah yang melarang berbuat demikian dan ia boleh menjurus kepada kemusyrikan. Di samping itu juga, Tuan Syeikh mengajukan permohonan agar Amir Uthman dapat menyediakan perlindungan kepadanya kerana bimbang usahanya untuk menghancurkan bangunan tersebut akan dihalang oleh pihak-pihak tertentu. Permintaan Tuan Syeikh tersebut dipersetujui oleh Amir Uthman dan bangunan tersebut berjaya dirobohkan.

Gerakan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab tidak berhenti setakat itu sahaja. Beliau bergerak dengan lebih jauh dengan meratakan semua maqam-maqam yang dipandang berbahaya di seluruh Uyainah. Hal ini bertujuan untuk mencegah orang ramai dari menjadikan maqam-maqam tersebut sebagai tumpuan mereka untuk melakukan syirik kepada Allah.

Selain dari masalah aqidah, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab juga menerangkan dan mengajarkan hukum-hukum syariah yang sudah termaktub dalam buku-buku fiqh tetapi tidak menjadi amalan umat Islam pada masa itu. Maka dilaksanakan mula-mula sekali ialah hukum rejam ke atas penzina.

Pada suatu hari, datanglah seorang wanita yang mengaku dirinya berzina di hadapan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, dia meminta agar dirinya dijatuhkan hukuman yang sesuai dengan hukum Allah dan rasulNya. Walaupun Tuan Syeikh amat berharap agar wanita itu menarik balik pengakuannya, namun wanita itu tetap bertahan dengan pengakuannya. Oleh yang demikian, wanita itu telah dijatuhkan hukuman rejam berdasarkan pengakuannya yang dibuat secara sukarela.

Namun demikian, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab masih lagi menghadapi ancaman dari beberapa pihak termasuklah pihak kaum badwi yang tidak senang dengan gerakan dakwahnya. Kaum Badwi yang sering membayar cukai kepada pihak berkuasa Uyainah mengancam untuk menarik balik bai’ah mereka sekiranya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab terus dibiarkan dengan gerakannya. Oleh yang demikian, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab terpaksa keluar dari Uyainah demi menjaga keharmonian dan mengelakkan dari berlakunya pertumpahan darah. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab kemudiannya berpindah ke daerah Dar’iyah.

Di Dar’iyah, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab meneruskan gerakan dakwahnya sebagaimana yang dilakukan di Uyainah. Sekali lagi beliau mendapat sokongan dari pihak berkuasa dan seterusnya gema dakwahnya disahut terus oleh pelbagai pihak di seluruh Najd. Ini dapat dilihat daripada aktiviti surat-menyurat yang dilakukan oleh beliau dengan seluruh ulama Najd dan juga di luar tanah Arab.



Perjuangan Dengan Mata Pedang

Perjuangan yang didokong oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab akhirnya memerlukan jalan terakhir untuk diteruskan. Walaupun ia bermula dengan lisan dan mata pena, namun mata pedang juga tidak dinafikan kegunaannya. Dengan bantuan Amir Muhammad bin Saud, penguasa Dar’iyah, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab memulakan gerakan jihadnya pada tahun 1158 H. Walaupun gerakan jihadnya sempat menakuki seluruh Najd, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab tidak sempat menyaksikan kejayaanya menguasai Haramain.

Namun setiap kali gerakan jihad di bawah pimpinan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab berjaya menguasai sesuatu tempat, mereka akan membongkar maqam-maqam yang dijadikan tempat pemujaan dan pusat-pusat bid’ah. Mereka akan membasmi setiap amalan-amalan yang bertunjangkan kesesatan dan berusaha mengembalikan umat Islam kepada aqidah salaf.

Kematian Tuan Syeikh

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab telah menghabiskan waktunya selama 48 tahun di Dar’iyah. Keseluruhan waktuynya diisi dengan aktiviti-akiviti dakwah, penulisan dan jihad serta mengabdi sebagai menteri penerangan Kerajaan Saudi di Tanah Arab.
Setelah puas melihat hasil kemenangan dan kejayaan dakwahnya, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab akhirnya dipanggil mengadap Allah pada 29 Syawal 1206H bersamaan dengan tahun 1793, dalam usia 92 tahun.

Fasal 2 : Manhaj Aqidah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dan Pertentangannya Dengan Asya’irah

Pengertian Salaf

Sebelum diterangkan lebih lanjut mengenai manhaj aqidah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, eloklah diterangkan terlebih dahulu pengetian salaf yang menjadi pegangan tuan syeikh. Secara ringkas, salaf ialah bererti apa yang telah berlalu dan terdahulu. Manakala penggunaannya dalam bahasa Arab seperti :

سلف الشئ سلفا

bererti : si anu telah terdahulu

Allah SWT berfirman :

yang bermaksud : Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa). Maka kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian.

Manakala istilah salaf dalam penggunaan dunia aqidah bererti generasi yang terdahulu dari umat ini iaitu Rasulullah SAW, para sahabat baginda dan para tabi’in (generasi yang menyusul sahabat), juga setiap orang yang menyeru kepada seruan yang diserukan oleh Rasulullah, para sahabat dan tabi’in, di mana mereka memperolehi ihsaan (kebaikan utama).

Dasar-dasar Aqidah Salaf

Di antara dasar-dasar aqidah salaf yang juga menjadi manhaj aqidah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab ialah :

Mewajibkan setiap orang Islam mengikutkan Kitab Suci Yang Mulia (Al-Quran) dan As-Sunnah, iaitu dengan merujuk kepada kefahaman As-salaf As-Saalih r.a kerana merekalah sesungguhnya orang yang berhak untuk diikuti.

Pemimpin (imam) As-Salaf As-Salih ialah Rasulullah SAW di mana kita diwajibkan untuk mengikutinya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT :

وما آتاكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا

Yang bermaksud : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.

Setiap kata-kata dan perbuatan Rasulullah SAW adalah merupakan ikutan kepada semua umat Islam. Dengan demikian, semua pendapat orang lain selain dari baginda boleh ditolak dan diperbahaskan. Rasulullah SAW bersabda:

وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ

Yang bermaksud : Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara ialah pembaharuan-pembaharuannya dan setiap bid’ah itu adalah sesat.

Allah SWT memerintahkan kita agar menjalankan hukum-hukum syariatNya pada setiap keadaan (liku) hidup kita, di mana Dia berfirman :

فلا وربك لا يؤمنون حتى يحكموك فيما شجر بينهم ثم لا يجدوا في أنفسهم حرجا مما قضيت ويسلموا تسليما

yang bermaksud : Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
Allah SWT telah mempertakutkan kita dari menyalahiNya, di mana dia berfirman :

فليحذر الذين يخالفون عن أمره أن تصيبهم فتنة أو يصيبهم عذاب أليم
yang bermaksud : Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Golongan Salaf ialah sebaik-baik golongan dalam sejarah umat Islam. Ini berdasarkan kepada hadis nabi SAW :

خير الناس قرنى ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم

Yang bermaksud : Sebaik-baik manusia ialah orang (hidup) di kurunku, kemudain orang yang menyususli mereka dan kemudian orang yang menyususli mereka,

Salaf mengenal Allah dengan beriman kepada Al-Quran dan As-Sunnah secara keseluruhan dan terperinci, dan mereka mengetahui ketunggalan Allah dan mengakui pula Kenabian dan Kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Salaf mengenali tuhan dengan sifat-sfatNya yang Dia firmankan menerusi wahyuNya dan apa-apa yang diturunkanNya, atau apa-apa yang disaksikan terhadapnya oleh Rasulullah SAW berdasarkan umber berita yang shahih dan pemindahan cerita daripada orang-orang yang adil (jujur) dan dipercayai.

Keimanan dengan cara tersebut ialah tanpa menyamakanNya (تشبيه) dengan makhluk-makhlukNya, tanpa membagaimana bentuk (تكشيف), tanpa membuang terus yang asal (تعطيل), tanpa mengubah yang asal (تحريف), tanpa menukar (تبديل) dan tanpa memberi rupa secara bandingan (تمـثيل). Allah SWT berfirman :

ليس كمثله شيء وهو السميع البصير

yang bermaksud : Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Salaf berpendapat bahawa seuatu kebaikan dan keburukan itu semuanya adalah dengan qadhaa’ (pelaksanaan urusan) Allah SWT dan qadarNya (ketentuanNya dari azali), akan tetapi (sesuatu) keburukan itu bukanlah dengan suruhan Allah SWT (ertinya Allah SWT tidaklah menyuruh melakukan keburukan).

Adalah di kalangan Salaf dan Imam-imam Al-Khalaf (generasi kemudian) RA semua mereka sepakat mengakui, menggaris (menetap) dan mengithbatkan (meneguh kewujudan) terhadap sifat-sifat Allah yang terdapat dalam Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Sunnah RasulNya tanpa merentangi dengan ta’wilan (pemindahan makna yang difikirkan sesuai).

Antara pegangan salaf ialah tidaklah wajib bagi setiap mulsim untuk mengikat dirinya dengan mana-mana mazhab (aliran) seorang pakar fiqh yang tertentu, dan bolehlah ia berpindah daripada satu mazhab fiqh kepada satu mazhab lain yang lebih kuat atau mengambil pandangan mazhab lain dalam perkara-perkara tertentu dengan syarat bahawa ini dilakukan berdasarkan ilmu dan bukan hanya sekadar ingin mengambil sesuatu yang mudah sahaja. Namun demikian, dia masih merupakan seorang muttabi’ dan bukan seorang mujtahid.

Di antara perkara-perkara yang begitu diambil berat oleh golongan salaf ialah masalah bid’ah (perkara yang direka-reka dalam urusan agama) samada dalam masalah aqidah ataupun masalah feqah. Bagi salaf, kewajipan umat Islam ialah mengikuti seratus peratus apa saja yang telah ditunjuki oleh Nabi SAW tanpa sebarang penambahan dalam urusan agama. Rasulullah SAW telah bersabda :

من أحدث فى أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

yang bermaksud : Siapa mengadakan dalam perkara (Agama) kami ini aoa yang bukan daripadanya, maka ia adalah tertolak.

Oleh kerana itulah, maka salaf amat menentang sebarang kaedah baru yang cuba dilakukan oleh mana-mana pihak dalam usaha untuk mengenal Allah SWT termasuklah dengan menggunakan ilmu kalam. Oleh kerana itulah, Imam Syafie pernah mengatakan bahawa barangsiapa yang belajar ilmu kalam, dia boleh ditangkap dan dibawa pusing keliling bandar sebagai satu hukuman kepadanya. Ini kerana ilmu kalam banyak menggunakan falsafah-falsafah Greek.

Sesetengah pihak cuba untuk membawa satu kenyataan bahawa golongan salaf sendiri menyokong bid’ah pada waktu-waktu tertentu berdasarkan kepada kata-kata Saidina Umar RA semasa beliau memerintahkan supaya orang ramai berkumpul untuk bersolat tarawih di belakang seorang imam semasa bulan Ramadhan sedangkan Nabi SAW tidak pernah melakukan perkara ini. Saidina Umar berkata :

نعمت البدعة هذه

yang bermaksud : Sebaik-baik bid’ah itu ialah amalan cara ini

Ini adalah hujah yang tidak tepat sama sekali. Sesungguhnya istilah bid’ah yang dipakai oleh Saidina Umar itu bukannya merujuk kepada istilah syarak melainkan ia berlaku cuma menurut segi penyebutan dalam bahasa Arab sahaja. Tambahan pula sembahyang tarawih secara berjemaah itu sudahpun dilakukan oleh Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bahawa Saidina Umar telah mempunyai asas yang kukuh untuk dilaksanakan perintahnya itu.

Oleh yang demikian, perlu diingatkan di sini bahawa bida’ah hanyalah satu jenis sahaja dan tidak terbahagi kepada beberapa jenis. Satu jenis itu ialah bid’ah dhalaalah (yang sesat). Istilah bid’ah hasanah telah mansukh, ditukar kepada Al-Maslahah Al-Mursalah (Kepentingan Umum Ummah).

Itulah antara perkara-perkara asas yang menjadi pegangan golongan salaf dan menjadi manhaj kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dalam menentukan aqidahnya. Selain dari apa yang dinyatakan di sini masih banyak lagi garis-garis panduan yang menjadi pegangan aqidah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Namun demikian, saya merasakan apa yang saya paparkan di sini adalah merupakan asas-asas utama dalam aqidah salafiyah dan inilah juga yang sering menjadi titik pertembungan antara aqidah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab (golongan salaf) dan aqidah golongan khalaf.

Pertentangan dengan Asya’irah

Dengan beberapa asas yang menjadi pegangan golongan Wahabiah, ia dengan sendirinya menjadi pertentangan dengan golongan Asya’irah yang menjadi pengikut kepada Al-Syeikh Abu Al-Hassan Al-Asy’ari. Walaupun demikian, pada hakikatnya aqidah Imam Al-Asy’ari yang terakhir sebelum beliau meninggal dunia ialah akidah salafiyah. Namun demikian, pemahaman yang beliau sebarkan sebelum kembali kepada aqidah salafiyah telah tersebar luas di kalangan kaum muslimin dan sehingga kini menjadi pegangan sesetengah pihak serta dinisbahkan pegangan tersebut kepada beliau. Walau apapun, kita berdoa semoga Allah merahmati beliau dan memberikannya sebesar-besar ganjaran. Ini kerana beliau sebenarnya telah berjasa kepada aqidah umat Islam pada masa itu dengan mempertahankannya dari serangan puak Muktazilah.
Antara asas-asas aqidah Asya’irah yang jelas bertentangan dengan pegangan salafiyah ialah :

Mendahulukan akal yang mereka istilahkan dengan kepastian akal daripada AL-Quran dan As-Sunnah dalam perkara ghaib, iktikad dan sifat Allah. Inilah yang menjadi kesepakatan mereka dengan Maturidiah, Jahmiyah dan Muktazilah. Sedangkan pada hakikatnya kaedah yang mereka gunakan ini sama sekali tidak menambahkan keyakinan dari segi i’tikad malah lebih menambahkan kebingungan dan membuka pintu perbahasan yang sama-sekali tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW.

Oleh kerana itulah, kita boleh mendapati bahawa dalam setiap majlis yang dipenuhi dengan orang-orang yang mempunyai aqidah aliran Asya’irah akan dipenuhi dengan perbicaraan sekitar logik akal semata-mata. Merka memberikan keagungan kepada penggunaan logika, teori, bukti kebenaran nyata berdasarkan akal dan tashawwur.

Bagi mereka, setiap hadis dan ayat-ayat Al-Quran akan cuba ditakwilkan dengan pelbagai bentuk penakwilan yang kononya boleh diterima oleh akal. Antara ayat-ayat yang ditakwilkan oleh mereka ialah :

يد الله فوق أيديهم

yang bermaksud : tangan Allah berada di atas tangan mereka

Sebagaimana yang masyhur di kalangan Asya’irah, mereka menakwilkan tangan Allah sebagai kuasa. Ini kerana mustahil Allah mempunyai tangan. Ini bertentangan dengan pendirian salaf yang tidak memberikan takwilan kepada tangan Allah. Ia tetap diterima sebagai tangan namun ia dilarang dari menggambarkannya seperti tangan manusia atau tangan-tangan lain. Barangsiapa yang menggambarkannya atau meyakini tangan Allah serupa dengan tangan makhluk, maka aqidahnya dikira rosak.

Selain dari ayat tersebut, masih banyak lagi nas-nas lain yang menjadi ‘mangsa’ penakwilan mereka.

Mereka tenggelam dengan takwil sifat Allah yang dilarang oleh Salafus-Soleh.

Dalam masalah mengimami Asma dan sifat Allah SWT, mereka menetapkan nama Allah dan sebahagian dari sifatNya serta menolak sifat-sifat lain yang bertentangan dengan akal. Mereka menetapkan sifat tujuh bagi Allah SWT, iaitu al-hayah, al-iradah, al-qudrah, al-ilmu, as-sama’, al-bashar dan al-kalam. Mereka menetapkan tujuh sifat tersebut kerana bagi mereka selain dari sifat tersebut maka ia bertentangan dengan akal.

Ini bertentangan dengan pendirian salaf. Salaf berpendirian bahawa sifat Allah itu tidak terbilang jumlahnya. Dengan menetapkan bilangan sifat Allah bertentangan dengan ajaran Rasulullah SAW yang tidak pernah berbuat demikian. Adakah di sana terdapatnya generasi yang lebih kukuh aqidahnya dari Rasulullah SAW dan para sahabat?

Kesimpulan

Daripada pertentangan asas-asas aqidah kedua-dua golongan ini, adalah menjadi satu perkara yang tidak dapat dinafikan lagi bahawa aqidah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab iaitu aqidah salafiyah lebih menghampiri kepada kebenaran dan ajaran Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, perjuangan yang dibawa oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dalam usahanya untuk mengembalikan kesucian aqidah umat Islam adalah satu usaha yang harus disanjung tinggi.
Namun demikian, Al-Imam Abu Hassan Al-Asy’ari juga patut diberikan penghormatan di atas usaha-usahanya menyelamatkan aqidah umat Islam pada masa itu dari terus hanyut dibuai oleh falsafah-falsafah Yunani dan Greek. Walaupun usaha beliau ini akhirnya menyebarkan satu aliran baru dalam bidang tauhid, namun kejayaannya menarik kembali umat Islam dari terus hanyut dalam pengaruh Muktazilah harus diberikan penghormatan. Cuma pada masa sekarang, di mana ketika logik akal tidak lagi menjadi keutamaan, maka untuk mengekalkan aqidah Asya’irah adalah satu tindakan yang tidak wajar.


وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Rujukan

Bil
Nama Kitab / Buku
Pengarang / Penerbit
1

Al-Quranul Karim

2
عقيدة الشيخ محمد بن عبد الوهاب السلفية وأثرها فى العالم الإسلامى
Doktor Saleh bin Abdullah bin Abdul Rahman (Al-Mamlakah Al-Arabia As-Saudiah) Cetakan Pertama 1408 H
3
Prosiding Seminar Tokoh-tokoh Mujaddid Islam
Terbitan Badan Perhubungan Penerangan Islam (BPP1) Selangor dan Wilayah Persekutuan
4
44 Dasar Pegangan Salaf - Manusia Di Sebaik-baik Abad (Kurun)
Abdullah Al-Qari bin Haji Saleh, (Darul Nu’man) Cetakan Pertama 1995
5
Gerakan Islah Muhammad bin Abdul Wahab - Kenyataan dan Tohmahan
Drs. Zainal Abidin Syihab, Nuur Publication, cetakan pertama 1997

No comments: